Beralas Tanah, Berbumbung Langit, Aku HambaMu!

Subuh.JalanKulai-KotaTinggi.

"Akak,cantiknya. MasyaAllah. Seriously cantik sangat ni."


~klik~


No filter. Tu gambar original. Langsung tak edit.

Perasaan sebak pagi ini terlalu sukar untuk digambarkan.

Hari ini Rabu, 26 Oktober 2016. Sudah seminggu berlalu. Minggu lepas...

"Doktor, kalau saya tak masuk wad boleh ke? Saya rasa saya ok je."

"Adik, saya rasa awak memang kena masuk wad. Sekarang ni dah agak terlewat. Sebulan awak menahan sakit, dan sekarang awak masih nak tahan?"

Sebak. Air mata dah rasa kat hujung mata. Satu milimeter je lagi dia akan terkeluar. Estimated.

Malam ni usrah. Hujung minggu ni daurah. Minggu depan konvo. Jubah konvo belum ambil lagi. Segalanya berputar di dalam kepala.

"Izinkan anak saya pulang dahulu tau doktor. Anak kami nak buat persiapan."

Alhamdulillah. Segala surat disediakan dengan cepat.

Sepanjang perjalanan pulang, hati berperang.

'Allah, aku plan lain, kenapa yang jadinya lain?'

'Allah, aku tak kuat. Tapi kenapa aku diuji begini?'

"Ayah.." hanya sorotan mata memandang ayah tanpa mampu diucap sebarang kata. Sepatah pun tidak terkeluar. Namun, mutiara jernih mula mengalir. Sebutir demi sebutir.

"Bersabarlah. Ini mungkin suatu kerehatan untuk along. Along berehatlah sepuasnya di hospital tau. Jangan fikir benda lain. Biarkan dulu. Along kena sihat dulu."

'Iya. Mungkin ini rehat untukku. Terima kasih Allah. Sesungguhnya Kau Maha Mengetahui.'

Tiga hari dua malam yang penuh bermakna. Tiga hariku ditemani alam yang sangat indah. Bangun pagi sebelum subuh, dikejutkan oleh nurse dan doktor. Pagi-pagi dah diambil darah berbotol-botol. Kemudian berpuasa untuk ujian seterusnya.

Entah. Yang peliknya, aku rasa gembira. Tiada sedih, tiada duka.

Lagi cantiknya perancangan Allah tu bila phone aku rosak selama dalam wad dan Quran pulak tertinggal dalam kereta ayah.

Maka tiada pilihan lain selain tadabbur alam.

Berbual dengan jiran-jiran katil sebelah dan depan.

Itu semua membuat aku lebih terinspirasi.

Katil sebelah kiri. Sejak aku dimasukkan ke situ, dia hanya terbaring lemah. Bermacam-macam wayar disambungkan ke tubuhnya. Sesekali sahaja matanya dibuka bila dipanggil oleh doktor.

Katil depan, pemiliknya sedar. Awal-awalnya, aku senyum, namun dia tak membalas. Sekadar muka kaku, yang membuat aku makin kelu.

'Alamak. Aku patut senyum lagi tak lepas ni?'

Dalam serba salah, petangnya bila ada kesempatan, aku senyum lagi. Masih seperti semalam. Wajahnya beku, tiada balasan untukku.

'Tidak mengapa. Mesti dia sedang menahan kesakitan. Aku faham.'

Masuk hari kedua, aku sedang makan. Menu hospital, seperti biasa. Tawar dan tidak berasa. Aku tidak kisah. Apa yang ada, aku makan sahaja. Rezeki. Lagipun bukan ada siapa-siapa yang ada disebelah untuk aku minta tolong belikan apa-apa.

Tiba-tiba terdengar satu suara. Eh?

"Sedap ke?"

Pemilik suara itu datangnya dari pesakit di katil hadapan.

Aku senyum gembira. Akhirnya!

"Sedap macam nilah cik. Makanan hospital kan."

Dia tergelak mendengar jawapanku. Aku pun tak tahu tang mana yang lucu.

Namun, melihat senyumannya aku rasa gembira tahap Tera Giga lah!

Dia ketawa!

'Allahu..nikmatnya melihat pesakit tersenyum di hospital..bukan senang..'

Kemudian, dia begitu rajin menegur aku. Rajin juga senyum kepada aku. Anaknya dan emaknya juga datang ke katilku pada waktu melawat.

"Sabar tau nak. Semoga cepat sembuh..muda-muda lagi dah diuji begini.."

Aku senyum sahaja. Muda tidak bererti apa-apa. Ramai sahaja mati di saat muda.

Masih aku ingat sewaktu aku nak meminta izin untuk solat di surau. Sekadar mencuba nasib kerana aku tahu mungkin aku tak diizinkan. Sebelum ni, di hospital lain, aku hanya solat duduk di atas katil.

"Nurse, surau di mana? Saya nak solat Zuhur sebentar."

"Surau ada kat depan. Adik tak lari kan?"

'Eh, erk..alamak. Muka aku ada muka macam patient nak lari dari wad ke?'

Aku tergelak besar. Lucu benar ayat nurse ni.

"Tak inshaAllah. Buat apa saya nak lari nurse.."

Dan alhamdulillah. Aku diizinkan untuk solat di surau.

Usaha jugak untuk solat bukan sebab aku rasa aku baik sangat namun sedar diri bahawa mati itu bila-bila masa saja. Menyaksikan patient yang berjiran, seorang pesakit kanser, aku jadi lebih insaf. Takut pun takut. Ego seorang budak  yang degil setinggi langit kini turun menjunam hingga ke aras bawah laut.

Pada waktu asar pula, sekali lagi aku meminta izin untuk solat.

Aku tanya kepada student nursing yang ada. Dia tak berani untuk izinkan. Kemudian dia ajukan kepada staf nurse. Staf nurse juga tidak berani izinkan. Ditanya pula kepada staf nurse yang lebih senior. Akhirnya, aku dengar suara sayup-sayup..

"Siapa nak ke surau? Tengok sikit. Oh adik yang tadi ni ke? Okay boleh.."

Sekali lagi aku tergelak. Lucu benar. Aku tak marah. Aku tahu itu prosedur. Bukan senang-senang pesakit boleh tinggalkan katil. Memang aku pun sudah redha andaikata perlu solat di atas katil sahaja kerana seorang pesakit memang mendapat rukhsah. Keringanan.

Alhamdulillah. Seterusnya, aku pergi solat dengan tiket senyum sahaja kepada nurse-nurse yang ada.

Allah yang memudahkan.

Namun, terbit satu perasaan sedih di dalam hati.

'Hajar, hang solat. Patient lain?'

Lalu, aku beranikan juga untuk bertanya kepada mak cik di katil sebelah.

"Mak cik, maaf saya bertanya. Mak cik nak solat? Kalau nak, saya boleh tolong ambilkan wuduk."

"Eh takpelah. Tangan mak cik ada jarum ni."

Sambil disuakan tangannya yang ada branula. Namun tidak disambung dengan air pun.

"Boleh mak cik. Mak cik cuma solat duduk sahaja."

Aku masih berharap yang dia tidak menolak ajakanku.

"Takpelah dik. Nanti kat rumah mak cik solat tau. Kat sini mak cik tak selesa."

Lantas apa lagi pilihan yang aku ada?

Aku sebak lagi.

Betapa 'normal' nya pemandangan ini. Sakit sahaja, 'boleh berhenti' solat.

Dulu aku pun tak faham. Aku pun berfikiran begitu. Tak boleh nak salahkan mereka.

Itu reflection kepada diri kita yang sihat. Adakah kita mengingatkan mereka tentang solat? Di saat ramai yang datang berziarah pesakit, berapa ramai yang mengingatkan pesakit kepada Allah? Berapa ramai yang willing untuk ambilkan wuduk untuk mereka yang tidak berdaya ini? Walhal, di saat diuji dengan sakit itu, jiwa pesakit ini begitu lemah. Fizikal lemah. Emosi bercelaru. Iman yang harus dibaja. Perlu sekali bantuan dari insan sekeliling untuk membawanya balik kepada Pencipta.

Hospital. Bertahun menjadi rumah kedua. Namun, ini kali pertama aku rasa sangat gembira ketika berada di wad.

Mungkin kerana kacamata yang diguna adalah kacamata yang berbeza.

Jika dulu, kacamata yang melihat adalah dengan kacamata yang kabur. Retak. Sentiasa memandang silap dari sekeliling. Sentiasa menyalahkan takdir. Rasa nak bunuh diri pun pernah. Ini serius.

Namun alhamdulillah. Kali ini sungguh berbeza.

Benar. Tarbiyah itu ada di mana-mana. Ikutlah cara pandangmu bagaimana.


~~~~~~~~~~~~~~

"Eh, datang konvo tak ni?"

"Well. Kalau doktor tak lepaskan, aku sanggup lari."

"Haha. Kau jangan buat kerja gila."

"Gila tak gila. Haha. Okay aku gurau je. InshaAllah. Aku akan keluar dari wad."

Alhamdulillah. Dengan rahmatNya, majlis konvokesyen selamat dihadiri.

Terima kasih Allah yang memudahkan segalanya.

Terima kasih kepada PM Dr. Suhairul dan Dr. Raja Kamarulzaman yang berusaha memudahkan urusan konvokesyen.

Terima kasih kepada yang tolong ambilkan jubah.
Terima kasih atas nasihat dan doa yang tak putus-putus dari semua pihak. Saya tahu kalian terlalu banyak mendoakan saya.
Allah sahaja yang layak membalasnya.

Alhamdulillah. Konvokesyen ini penuh bermakna kerana ia bukan sekadar satu pencapaian menerima ijazah dan disampaikan oleh seorang Tan Sri dengan muka berseri-seri. Tapi lebih dari itu, kerana ada air mata dan darah yang telah dikorbankan.




Al-Fatihah juga buat semua korban yang maut akibat tragedi di Hospital Sultanah Aminah. Bukan Johor sahaja diuji. Semua pun sedang diuji.

Last but not least..

"Hidup di bawah bayangan al-Quran adalah suatu kenikmatan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu kenikmatan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.."
(Muqaddimah Fi Zilalil Quran_Sayyid Qutb)

Mati itu bila-bila masa. Tengahari sebelum aku dibenarkan keluar, pesakit katil sebelah meninggal dunia. Aku melihat setiap detik-detik akhirnya. Allah. Begitu sakaratul maut.
Sebak sungguh hati.

"Awak nak mati yang macam mana? Hiduplah dengan cara bagaimana awak ingin mati. Jika ingin mati dengan redhaNya, hiduplah dengan redhaNya juga. Dosa takkan lepas, tapi ampunanNya lebih luas.."

Carilah wasilah yang mendekatkanmu dengan Allah. Pandanglah segala yang terjadi di dalam hidupmu dengan pandangan yang positif. Allah tak mencipta sesuatu dengan sia-sia. Dan Allah juga tak uji sesuatu melebihi kemampuan hambaNya. Bersabarlah dengan sabar yang paling cantik. Ingatlah syurga. Di sana kerehatan sebenar kita. Selagi diberi kurnia hidup, hiduplah untuk mengejar cinta dan redhaNya. Usah pedulikan pandangan manusia kerana kau akan letih. Ikut apa yang Allah mahu, jiwa akan tenang.

*senyum*

#nukilanseorangpendosayangingintsabatmencaricintaTuhannya

26_oktober_2016_9.19am

Comments

Popular Posts