Ubati Ego, Ziarahi Kubur!

(1) Kamu telah dilalaikan(daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya(harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh).

(2) Sehingga kamu masuk kubur.

(3) Jangan sekali-kali(bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!

(4) Sekali lagi (diingatkan), jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!

(5) Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui-(apa yang kamu akan hadapi)- dengan pengetahuan yang yakin,(tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).

(6) (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.

(7) Selepas itu-demi sesungguhnya-kamu(wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin(semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!

(8) Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat(yang kamu telah menikmatinya)!

Surah yang mengherdik manusia, sama ada mereka Muslim atau tidak. Tetapi, selagi mereka adalah manusia, mereka sepatutnya diingatkan dengan surah ini. Apatah lagi si da'ie(pendakwah) yang saban hari menyeru manusia, mengajak dan menyebarkan Islam kepada semua manusia. Apakah yang menyebabkan manusia lari dari agama? Lari dari suatu yang mereka sebenarnya sedar dan lihat di hadapan mata mereka, bahawa ia adalah suatu kepastian?

Hidup dan mati, ada dan tiada di dunia ini adalah dua ujian Allah. Semua manusia melihat kematian dan kehidupan. Tetapi, apa yang menyebabkan mereka tetap lalai dan lupa? Ayat surah ini telah mengajar dan menjelaskan sebab dan ubatnya.

Kata 'alha' dipilih Allah untuk menjadi pembuka kepada surah ini. 'Alha' bukan hanya lalai biasa. Tetapi, ia adalah lalai yang disertai dengan bodoh dan tolol. Ia adalah meninggalkan sesuatu yang baik kepada sesuatu yang tidak baik. Ia adalah lari daripada sesuatu yang berguna kepada sesuatu yang tidak berguna atau hanya berguna sementara. Sebagaimana kanak-kanak yang meninggalkan makan dan minum kerana seronok dengan permainan masakan pasir dan plastik. Adakah ia akan mengenyangkan kanak-kanak itu? Itulah hakikat 'alha' yang telah menipu berjuta-juta manusia sejak dahulu, kini dan akan datang!

Siapakah 'kum' yang telah dilalaikan dan diperbodohkan oleh manusia ini? Walaupun terdapat banyak pentafsiran sebagaimana yang disebutkan Imam Qurtubi, namun akhirnya ia membawa kepada satu erti yang boleh diterima oleh semua mufassirin( pentafsir) iaitu manusia yang membaca surah ini, mendengar bacaannya atau mendapat tonyohannya. Kita sama ada telah sedar atau tidak sedar, Muslim atau bukan, da'ie atau orang umum Muslim yang belum menyedari tanggungjawab mereka, semuanya terkena tusukan Allah dengan ayat ini. Setiap daripada kita tidak dapat lari dari penyakit ini.

Kuman dan virus kuat yang dapat mengheret manusia hingga lupa kepada tempat kembali asal yang sedang mereka tujui ini ialah 'at-takathur'. Memang 'at-takathur' ini sungguh berbisa. Meragut dan merosak. Melupakan dan menghinakan manusia akhirnya. Ia adalah rasa NAFSU EGO. Ia adalah rasa hati dan perasaan. Ia adalah hati yang berpenyakit dan akan melumpuhkan manusia daripada ingin lagi kepada matlamat yang hakiki, kekal, pasti dan dijanjikan Allah.



Kerana Allah telah menjadikan manusia tiga nafsu yang tidak dapat dibuang. Maka majoriti daripada mereka telah menjadi hamba dan pengikut syaitan yang mengajak kepada penyembahan ketiga-tiga nafsu ini. Menyembah atau mengikut salah satu daripada nafsu ini sahaja sudah cukup untuk menjadikan manusia sesat, apatah lagi jika ketiga-tiga nafsu ini diikuti.

Firman Allah S.W.T(maksudnya):

"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu(wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya(bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah(menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu(wahai krang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?"
(Al-Jathiyah:23)

Pengikut hawa nafsu sebenarnya adalah penyembah kepada hawa itu. Salah satu virus yang mengheret manusia kepada penyembahan ini ialah rasa ingin untuk ber'takathur'! Perebutan dan pertandingan siapakah yang paling banyak dan hebat. Hebat dan banyak mata wang ringgit, anak, keluarga, geng dan pengikut. Ia adalah pertandingan hanya kerana ego dan ingin merasa hebat dengan kepunyaannya itu.

Tetapi, apakah manusia dapat sesuatu daripada penyakit ego ini? Adakah mereka akan dapat manfaat sebenar selain daripada perasaan ini? Mendapat tempat? Mendapat kedudukan, tepukan dan sanjungan pingat? Apakah mereka akan dapat makan lebih jika telah dihinggapi penyakit? Adakah mereka dapat bersama, jika telah terbaring tenat dan tidak dapat bangun menyertai? Benarlah sabda Baginda S.A.W (maksudnya); "Anak Adam berkata: Hartaku, hartaku. Kamu ada hartakah wahai anak Adam? Harta kamu hanya apa yang kamu makan, lalu tidak lama ia pun hancur. Apa yang kamu pakai dan tidak lama ia pun reput. Atau apa yang kamu sedekahkan, itulah yang kekal." (HR Bukhari)

Memang perebutan merupakan sesuatu yang lumrah, biasa,menarik, dan telah memperdaya ramai mangsa termasuklah para da'ie dan murabbi. Pekerja Islam kadang-kadang juga tertarik tanpa disedari. Tidak ada perebutan yang patut dikejar, melainkan menarik manusia kepada Allah atau memperbanyak ilmu dan kefahaman untuk disumbangkan kepada manusia yang belum faham dan sedar!

Allah telah menerangkan ubat kepada semua penyakit ini. Menziarahi kubur!

Sama ada menziarahi ini ertinya mati dan dibawa ke kubur, atau mungkin juga dengan betul-betul kita menziarahi kubur dan mengambil pengajaran daripada ziarah ini. Kedua-duanya betul. Tetapi, keduanya tidak sama dan amat jauh bezanya.

Satunya telah dibawa manyat dan jasad untuk ditanam. Apa lagi yang mampu dibuat setelah jasad telah mati dan tidak mampu lagi bertanding? Pertandingan apa lagi yang ingin dimasuki, setelah mayat tidak mampu bergerak? Ia adalah kata penamat daripada Allah bahawa manusia tidak boleh disekat kehendak ingin bertandingnya, melainkan orang yang disayangi oleh-Nya.

Erti kedua lebih baik, tetapi hanya diperoleh bagi mereka yang mengambil pengajaran apabila menziarahi kubur. Tidak ada gunanya jika menziarahi kubur kerana resam dan adat. Tidak ada gunanya menziarahi kerana tradisi hari kebesaran. Apatah lagi jika hanya ke kubur kerana menjadi petugas penggali kubur. Praktik dan amalan Nabi S.A.W bersama sahabat sungguh-sungguh menjadi qudwah(teladan). Bacalah sunnah-sunnah Baginda S.A.W semasa menziarahi kubur. Ia adalah ubat terbaik untuk memotong ego takathur yang sentiasa datang tanpa henti dalam hidup manusia.

No! No! Kalla! Itulah sergahan dan penafian Allah yang tegas. Tidak! Tidak! Manusia tidak akan menjadi begini, jika mereka sedar apa yang akan berlaku selepas mereka mati. Nanti mereka akan tahu apa yang akan berlaku. Pengulangan berulang kali menandakan tegas dan sungguh-sungguh.

Adakah manusia tahu? Adakah manusia melihat? Adakah manusia merasai? Tiga peringkat keyakinan dalam hidup manusia. Yakin dengan tahu akan dalil dan tanda. Yakin dengan melihat dan yakin dengan merasai. Ibarat buah yang sedap. hanya diketahui daripada penceritaan. Kemudian melihat dan kemudian merasai dengan sentuhan melalui lidah dan mulut. Manusia akan melalui tahap-tahap ini nanti. Tetapi, adakah ia berlaku sekarang? Tentu tidak. Sekarang adalah masa untuk yakin dengan penceritaan daripada seorang manusia bernama Rasul. Daripada deskripsi sebuah kitab bernama al-Quran.

Oleh sebab itulah, ramai manusia tidak mahu yakin dan seakan tidak percaya. Mereka lebih percaya kepada dunia dan perlumbaannya, kerana pangkat dan pingat itu nampak dan dapat dilihat. Disemat di dada-dada dan digantung di bingkai-bingkai gambar pada dinding. Nama didengari oleh telinga apabila ia dipanggil dengan gelaran yang menawan dan mengagumkan. Kenderaan mewah kelihatan menjalar di parkir istimewa dan orang akan bertanya, "Siapa tuan kereta ini?"

Tetapi hakikat akhirat, syurga dan neraka tidak dilihat sekarang. Hanya didengari daripada pujukan dan seruan Rasul. Apakah ia sebenar-benarnya benar? Tidak ramai yang percaya.

Dari sinilah Allah mengulang-ulang secara pastinya. Ia akan berlaku. Bukan hanya sekadar diketahui dengan ilmu, tetapi ia akan dilihat oleh mata. Di hadapan mata. Bukan matahari, tetapi mata kepala sebagai mana kita melihat objek pada hari ini. Malahan nanti, ia bukan sekadar berlaku dengan mata kepala, tetapi ia akan dapat dirasa dengan hakikat. Hakikat yang tidak dapat ditolak lagi, kerana ia dapat dirasai dengan semua pancaindera manusia ini.

Kepastian berlaku ini bukan hanya untuk pengetahuan semata-mata. Tahu dan kita mengangguk-angguk tanda faham bahawa kita akan tahu, dan dunia ini hanya perlumbaan yang tidak akan tamat-tamat hingga mulut kita dipenuhi oasir kubur. Tetapi persoalannya lebih daripada itu. Ia adalah tanggungjawab yang akna ditanya. 

'Thumma latus'alunna' pada hari itu tentang semua nikmat yang telah Dia berikan pada manusia ini. Ya! Ia akan ditanya. Bukan hanya berlakunya kiamat dan tidak ada apa-apa kaitan dengan dunia.

Ketika datangnya ayat ini, para sahabat bertanya kepada Nabi S.A.W :"Adakah kami akan disoal terhadap nikmat? Sedangkan kami hanya memakan tamar dan meminum air kosong?" Nabi S.A.W menjawab (maksudnya) : "Ya. Ia semua akan disoal dan ditanya oleh Allah." (HR at-Tarmidzi)

Jika tamar dan air kosong pun akan ditanya, apakah jus buah-buahan, bubur, manisan, lapan hidangan lauk, rumah tersergam, tanah ladang, kenderaan berkilat, pakaian berjenama dan kesihatan semua akan dibiarkan begitu sahaja?


Disclaimer : Sedutan huraian surah ini diambil dari Buku Borak-Borak Berisi: Menghidupkan jiwa Dengan al-Quran, tulisan Dr Kamaru Salam Yusof. Alhamdulillah. Jazakallah khoir ustaz untuk karya ini.



Saya begitu tertarik dengan surah ini kerana situasi saya yang mana mula merasakan sedikit demi sedikit, tarikan terhadap harta, duit, kereta dan macam-macam lagi. Mungkin kerana sudah berpengalaman sedikit dalam dunia praktikal ni, maka saya sendiri mula melihat ancaman demi ancaman terhadap kesucian jiwa setiap yang berusaha mencarinya. Ujian demi ujian yang Allah turunkan tu tak lain hanyalah untuk menapis, siapa di antara kita yang benar-benar mampu mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya. 

Dan satu lagi, sejak dahulu saya tahu, ziarah kubur untuk sucikan jiwa. Dan ego tu pula mesti disucikan. Tahu. Namun sekadar tahu saja lah. Tak terfikir tentang praktikaliti nya. 

Dan kini saya melihat dan merasakan betapa pentingnya memahami dengan sebenar-benarnya.

Sempena bulan Ramadhan yang masih berbaki ini, gunakanlah peluang ini untuk mengutip bekal sebanyak-banyaknya. Agar kelak ia cukup untuk membentengi diri sehingga ke Ramadhan seterusnya, inshaAllah. 

Mohonlah sebanyak-banyaknya. Wallahua'lam.

Comments

Popular Posts