Ramadhan vs Syawal

"Cepat lah kemas bilik ni..."
"Dah nak raya ni rumah bersepah macam ni?"

"Nanti lah long. Kita tunggu lagi sehari nak raya kita kemas eh!"

“Hishhh..macam ni la kalau duduk dengan ramai-ramai. Kita kemas orang lain menyepah. Err tapi kalau orang lain kemas aku pulak menyepah. Kahkah..sama je perangai. Jadi kan hajar, jangan complain banyak sangat. Perangai hang dua kali lima je dengan adik-adik hang!” bisik aku di dalam hati.

Tangan laju mencari minyak pewangi bilik.

‘Laa…awat hilang ni. Hang kat mana? Haritu waktu kemas kat UTM, letak mana ni?’

Tak jumpa!

“Udaaaa…haritu uda kemas pewangi tu, uda ingat tak uda letak mana?”

Uda menjadi mangsa.

“Ada la long. Dalam bekas hadiah along tu..”

Ok done!

Bilik telah wangi dengan jayanya. Dibuka computer riba yang dah seminggu lebih tak disentuh. Semenjak tesis projek akhir berjaya disiapkan dan dihantar, malas untuk melihat komputer itu. Sakit mata.
Seminggu tempoh masa itu digunakan sepenuhnya untuk membina kekuatan rohani setelah setahun bergelumang dengan kesibukan sebagai pelajar tahun akhir.

Terngiang-ngiang di kepala akan soalan yang ditanyakan ketika ‘Gathering' kelmarin.

“Apakah itu Islam?”

Ah sudah! Aku hanya mampu menundukkan kepala ke lantai. Bimbang sekiranya bertembung mata dengan sister yang bertanya. Aku nak jawab apa?

“Islam itu agama!”

Seorang menjawab.

“Islam itu lengkap. Syumul..”

Seorang yang lain menjawab.

“Lengkap yang bagaimana? Boleh explain sedikit?” Sister itu bertanya kembali dengan wajah riang gembira.

“Err.. lengkap la. Maksudnya Islam ni dia ada bagitau semua benda termasuklah  cara untuk makan, tentang politik dan macam-macam lagilah..”

Kepala aku terus menerawang.

Auch! Sakitnya tuh di sini. Selama ini aku begitu yakin yang aku dah tahu banyak benda dah pasal Islam. Walaupun tak banyak, at least tau la kot nak jawab sikit-sikit tu. Namun di saat aku ditanya dengan soalan simple aku sudah terdiam. Tak mampu nak explain lebih pun. Teruknya aku!

“Ok. Apa kata kita mengambil contoh suatu sistem yang ada di muka bumi ini. Siapa tahu sistem pencernaan? Digestive system. Sistem ni kita tahu ianya melibatkan makanan yang mula masuk dari mulut, kemudian kita kunyah, sampai makanan tu masuk ke dalam perut. Selepas itu, ia akan pergi ke usus kecil dan usus besar. Akhir sekali ia akan keluar melalui anus.” Sister itu memberi contoh untuk memberi gambaran mudah kepada kami.

“Cuba bayangkan jika usus kita ada masalah, tak dapat berfungsi dengan baik. Apa kesannya kepada kita?”

“Nanti orang akan sakit. Tak selera nak makan. Makan pun kena pilih-pilih. Tak boleh makan benda keras-keras sangat. Muka pucat. Tak larat nak buat kerja-kerja harian. Banyak effect dia kan? Gara-gara usus sahaja, maka seluruh tubuh mendapat kesannya. Begitu juga sistem Islam. Islam itu adalah satu sistem yang lengkap. Syumul.”

Aku buka kembali nota-nota lama. Menyemak kembali point-point penting yang dah diterangkan sewaktu program. Terdapat 22 aspek penting yang telah di highlight kan di dalam usul 1 ini. Semua aspek ini perlu digunapakai kesemua sekali tanpa meninggalkan satu pun.

Kesemuanya adalah sama penting antara satu sama lain. 'سواء بسواء'. Tidak boleh ada yang kurang, tidak boleh ada yang lebih. Cantik!

Aku terus bermenung. Begitu besar maksud perkataan Islam yang tercatat di dalam kad pengenalan aku. Selama ini aku tidak benar-benar memahami maksud yang tersirat di sebalik kalimah syahadahku. Sebut setiap hari di dalam solat tapi sekadar sebut sahajalah. Tidak pula ada rasa ingin tahu lebih lanjut apa maksudnya yang sebenar.

Patutlah orang-orang bangsa Arab zaman dahulu menolak sekeras-kerasnya dan ada yang menerima dengan seikhlas-ikhlasnya. Semuanya adalah kerana mereka sangat memahami maksud kalimah syahadah mereka. Begitu berat maksud yang ada di sebalik lafaz itu. Tersembunyi satu perkara yang mereka faham dan mereka perlu tinggalkan iaitu menolak semua Ilah kecuali Allah.

Ilah aku ketika ini? Oh tidak. Memang terlalu banyak. Ilah sendiri membawa maksud sembahan, sesuatu kecintaan, sesuatu yang kita sentiasa ingati. Apa yang aku selalu ingati? Apa yang terlalu aku cintai ketika ini? Banyak. Kebanyakannya memang selain Allah.

Sepanjang 23 tahun aku dihidupkan, rasanya tak pernah lagi aku betul-betul memikirkan tentang Islam ini. Cuma kadang-kadang tu pernah la jugak wonder kan. Bila tengok saudara-saudara kita yang baru revert kepada Islam, aku pelik. Kenapa la hebat sangat diorang ni? Baca Quran boleh menangis-nangis, bahkan kefahamannya terhadap ayat Quran lebih baik berbanding aku sendiri yang lahir-lahir memang dah Islam. Tapi bila dah habis study, kepala dah rasa lapang sikit, semak-semak busy banyak dah kena tebas, baru la aku terduduk dan terdiam.

“Hajar, what you have done as a Muslim for this 23 years?”

Kalau la bercerita tentang syurga, ecewah! Aku yang lebih-lebih. Nak syurga Firdaus, nak duduk sama-sama sebelah nabi, nak melihat wajah Allah. Nak syurga warna hijau lah. Nak syurga ada laut dengan air terjun lah. Itu dan ini. Pandai berkata-kata. Satgi orang baru tanya apa itu Islam pun dah tercengang? Dah macam mana tu?
Cuba letak sahabat nabi contoh Saidina Abu Bakar RA kat sebelah hang hajar. Pastu buat checklist. Hang rasa hang layak ka nak apply syurga tertinggi kat Allah la ni? Auch! Sakit. Down la macam ni. Dah tu kita tak layak ke ni nak mintak syurga Firdaus? Syurga tertinggi tu beb. Dalam tu ada nabi junjungan kita, para sahabat yang hebat-hebat, serta para syuhada’.

Tapi satu hal yang kita kena ingat. Allah tu sentiasa bersabar dengan  hamba-Nya. Sentiasa menanti kita untuk memohon kepada-Nya. Ingat tak kat doa taubat yang waktu kecik-kecik dulu kita selalu kena baca? Aku suka dengar lagu taubat versi Raihan. Sebak je bila baca.

Wahai Tuhan, ku tak layak ke syurga-Mu
Namun tak pula aku sanggup ke neraka-Mu
Ampunkan dosaku terimalah taubatku
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar
Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai
Dengan rahmat-Mu ampunkan daku 
Oh Tuhanku
Wahai Tuhan selamatkan kami ini
Dari segala kejahatan dan kecelakaan
Kami takut kami harap kepada-Mu
Suburkanlah cinta kami kepada-Mu
Kamilah hamba yang mengharap belas dari-Mu

Kalau berdasarkan doa ini, memang kita menyerahkan seluruhnya kepada Allah. Memang dosa kita ni tak terhitung. Yang kita sedar lain, yang kita tak sedar pun masuk dalam buku akaun jugak tau. Pahala amal jangan cerita la. Tak tau la yang mana je yang betul-betul dah ikhlas kerana Allah.
Tapi, mintak lah dengan Allah. Ramadhan masih berbaki beberapa hari lagi. Mungkin boleh buat refleksi diri.

“Setakat mana dah usaha untuk jadi hamba Allah dan bukannya hamba Ramadhan semata-mata?”

“Setakat mana diri dah usaha untuk jadi mukmin yang lebih baik?”

Amal ibadat kita memang tak banyak. Kalau nak diikutkan, susah untuk kita masuk ke syurga Allah. Sememangnya kita perlukan rahmat Allah. Rahmat yang bermaksud belas kasihan. Bila kita nak doa?

Sekarang. Iye sekarang. Kita doa, kita minta kat Allah. Menangislah. Berpura-puralah menangis sekiranya tidak mampu menangis betul-betul. Semoga Allah kasihan dengan kita.

Teringat sharing dari radio.

"Antara salah satu saat hati kita mati adalah di saat kita masuk ke liang lahad. Blurr kita waktu tu. Besarnya liang lahad ni. Kalau orang beriman, terang kuburnya. Luas kuburnya. Tapi kalau kubur kita sempit macam mana? Waktu itu hanya amal yang mampu menolong kita."

Lalu ulama' menasihatkan agar kita hidupkanlah malam hari raya kita. Penuhi dengan istigfar, takbir dan tahmid.

Mata meliar melihat sekeliling kawasan rumah. Di saat ada yang bertanya,

"Macam mana persiapan raya? Ketupat dah buat? Baju raya tahun ni warna apa? Raya pergi mana tahun ni?"

Aku hanya mampu tersenyum. Tak tahu nak jawab bagaimana. Kerana tak semua faham dengan apa yang aku rasa. Di awal ramadhan yang lalu, aku berdoa dan berniat agar syawal kali ini adalah dalam keadaan bersederhana sahaja. Aku lebih ingin merasai susahnya orang lain yang lebih susah dari aku. Mereka yang tidak punya baju baru di saat beraya, mereka yang tiada ayah dan ibu dan mereka yang benar-benar mengharapkan keampunan Allah di dalam bulan penuh barokah ini.

Lalu Allah mengkabulkan permintaan aku. Benar-benar tahun ini aku tidak kisah tentang baju baru. Aku tak kisah tentang kuih-kuih raya sangat, tak risau sangat tentang persiapan-persiapan raya walhal kalau diikutkan raya sebelum ni, waktu sebegini pasti kami sekeluarga sedang sibuk menyediakan itu dan ini.

Pandangan mata tumpah kepada wajah seorang demi seorang adik-adikku. Inilah erti hari rayaku. Maaf aida sebab along paksa bukak al-Quran. Maaf uda kalau along paksa untuk tolong basuh baju. Maaf angah sebab along suruh tolong along. Mungkin di saat ini kalian masih tidak memahami. Semuanya along buat untuk mengajar. Mengajar adik-adik along tentang erti kehidupan sebenar. Along bukan nak mendera sebaliknya memberitahu ini erti sebenar ramadhan. Mendidik kesabaran di dunia realiti. Bukan sekadar hidup dengan kegembiraan ibarat fatamorgana bersama teman-teman di media sosial. Along mengharapkan akan adanya lagi pertemuan di antara kita sekeluarga di syurga kelak. Nanti di sana, kita boleh main kucing sama-sama lagi, berlari-lari ke sana sini dengan gembira, nak main phone sampai bila-bila pun boleh adikku. Haha

Di saat aku meminta adik membacakan tafsir al-Quran ayat 164 surah al-Baqarah, aku sedih sekali.

Adakah ramadhan kali ini benar-benar telah menjadikan hambaMu ini sebagai hamba yang berfikir tentang kebesaranMu? Adakah telah bertambah keimananku?
Sudah hidupkah jiwa ini dengan ruh al-Quran? Sudah lembut basahkah lidah ini dengan al-Quran? Atau semakin fasih dengan lagu-lagu raya yang semakin galak berkumandang? Malam-malam kita berjaya dihidupkan dengan ibadah atau sekadar menonton siaran perlawanan bola sepak? Dan adakah kita pasti bahawa akan ada lagi pertemuan dengan ramadhan tahun hadapan? Fuhh...

Seronok bila mengetahui maksud sebenar 'Hari Raya Aidilfitri'. Bergembira kembali kepada fitrah. Fitrah yang suci tanpa noda dosa. Keluar dari madrasah ramadhan dengan diri yang baru, yang lebih baik setelah bermujahadah selama sebulan. Itulah erti kegembiraan sebenar seorang mukmin. Kerana itu seorang mukmin akan berasa gembira untuk menyambut syawal yang tiba kerana ianya seakan hari graduasi untuk mereka. Memperoleh 'ijazah kepujian' mereka setelah lulus dengan ceemerlang dalam ujian di madrasah ramadhan. Berayalah dengan pengertian sebenar hari raya itu. Baju dah cantik, tapi kalau amal ibadahnya pun cantik, lagi double triple cantik di mata Allah kan?

Semoga terus dikuatkan kesabaran dalam usaha untuk memperbaiki diri. Semoga Allah menerima segala amal ibadah kita. Semoga diberkati segala usaha untuk kita lebih dekat dengan-Nya. Semoga dalam Ramadhan kali ini kita berjaya memperolehi piala taqwa seperti yang dijanjikan Allah dalam ayat cinta-Nya.

Allahumma innaka 'afuun tuhibbul afwafa'fuanna.

Allahumma ajirna minannarrissalimin.




Comments

Popular Posts